PUTRAJAYA – Ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan berhampiran IOI Conezion di sini, awal pagi tadi memaklumkan dia sempat bertemu anaknya, Nizasuhana Ujang, 28, buat kali terakhir pada Selasa lalu.
Lina Harun, 60, berkata, ketika menghubungi Nizasuhana malam tadi, dia ada memintanya untuk pulang ke rumah.
“Dua hari lepas (kali terakhir kami berjumpa). Malam tadi saya telefon dia, saya tanya bila mahu balik (ke rumah), dia beritahu kalau tak esok, lusa dia akan balik.
“(Kebiasaannya) memang selalu balik, kalau dia masuk kerja pagi, petang dia akan balik ke rumah. Kalau masuk (kerja) petang, waktu pagi dia akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemandu dan tiga penumpang disahkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta berhampiran IOI Conezion Putrajaya dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.20 pagi. – KOSMO! ONLINE