PUTRAJAYA – Rutin menghantar Muhammad Danial Mohd. Nuzi, 24, ke tempat kerja minggu lalu menjadi antara kenangan terakhir Mohd. Nuzi Tamli, 57, bersama anak kelapan dari 10 adik beradik itu.
Mohd. Nuzi yang merupakan penjawat awam berkata, tiada sebarang perubahan ketara ditunjukkan anaknya sebelum meninggal dunia dalam kemalangan bersama tiga yang lain awal pagi tadi.
Katanya, dia menerima berita mengenai kejadian yang menimpa Muhammad Danial daripada anak perempuannya pada pukul 11 pagi sewaktu berada di tempat kerjanya di Petaling Jaya.
“Memang sangat terkejut dan hampir tumbang (terjatuh) namun ditenangkan oleh rakan sekerja. Sepanjang minggu lalu, saya hantar anak (Muhammad Danial) ke tempat kerja setiap hari.
“Kali terakhir kami berhubung melalui panggilan telefon kira-kira dua hari lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Mohd. Nuzi memberitahu, arwah anaknya bekerja sebagai operator kilang di Kuala Selangor dan sudah lebih tiga bulan tinggal berasingan dengan keluarga.
Arwah Muhammad Danial merupakan anak yang baik dan menghormati kedua-dua orang tua. Pemuda itu juga juga merupakan bekas pelajar tahfiz yang kadangkala dijemput sebagai imam sementara di masjid sekitar kawasan Bestari Jaya.
Jenazah Muhammad Danial dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bestari Jaya selepas proses bedah siasat selesai. – KOSMO! ONLINE