fbpx

JIM tidak pernah lantik orang tengah daftar pelancong asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibrahim ketika bercakap pada sesi libat urus pengarah imigresen KLIA bersama media di KLIA Terminal 1, Sepang, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

SEPANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah melantik ejen atau orang tengah untuk urusan pendaftaran Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) bagi pelancong asing yang ingin masuk ke negara ini.

Pengarah Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ibrahim Mohd Yusof berkata, sejak kebelakangan ini, pihaknya mendapati ada pihak luar yang mengaut keuntungan dengan membina laman web palsu seakan-akan MDAC.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, ada pihak yang mengenakan caj sehingga RM300 sebagai upah bagi pendaftaran MDAC itu sedangkan tiada langsung caj dikenakan.

“MDAC ialah borang dalam talian yang wajib diisi oleh semua warga asing sebelum ketibaan mereka di Malaysia. Bagaimanapun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama MDAC untuk mengaut keuntungan dengan membangunkan laman web palsu.

“Pautan rasmi MDAC ialah https://imigresen-online.imi.gov.my/mdac/main,” katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra JIM KLIA bersama pengamal media di sini, hari ini.

Katanya, setakat ini, pihaknya telah mengesan beberapa laman web palsu iaitu https://www.malaysiadigitalcard.com, https://malaysladac.d30soovsrqv/rL.amplifyapp.com, https://malaysiacard.com dan https://www.mytouristoniineinfo.com/application.

Ibrahim berkata, pihaknya juga telah meminta ibu pejabat supaya menyekat laman web palsu itu dibantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI