fbpx

K2

Jika sudah dibeli, perlu dibuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAT Islam dilarang membeli barangan sihir untuk tujuan mensyirikan Allah SWT. – Gambar hiasan

Apakah hukum beli barang-barang sihir yang dijual dalam laman platform e-dagang dan sebagainya?

Jawapan: Sihir adalah salah satu perkara yang diharamkan dalam Islam. Umat Islam dituntut untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengannya. Hal ini dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa sihir adalah salah satu dosa besar.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah tujuh dosa besar.” Mereka bertanya: “Apakah dosa-dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan cara yang dibenarkan syarak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari perang serta menuduh wanita beriman yang muhsan berzina.” (Riwayat al-Bukhari, 2766)

Hukum asal dalam jual beli adalah harus sehingga ada dalil-dalil yang menjadikannya haram. Ini berdasarkan kaedah fiqh berikut: Hukum asal dalam muamalat adalah harus. (Rujuk Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/553)

Sesuatu jual beli dianggap sah sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli seperti pembeli, penjual, ijab dan kabul serta barang yang diniagakan.

Dalam konteks permasalahan ini, ulama menyatakan bahawa barang yang dijual mestilah suci, boleh dimanfaatkan, diketahui, boleh diterima dan dimiliki oleh pembeli.

Tambahan lagi, ada ulama menyatakan bahawa barang yang diniagakan itu mestilah barang diharuskan syarak. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/149[1]; – 3/140[2])

Oleh itu, segala barang yang digunakan untuk tujuan mensyirikkan Allah adalah haram dan tidak sah untuk dijual beli. Bahkan hasil yang diperoleh penjualan barang tersebut tidak boleh digunakan dan perlu disucikan.

Sekiranya sudah dibeli, maka barang tersebut perlu dibuang dan dihapuskan. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/11[3]; Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 139[4])

Kesimpulannya, hukum jual beli barangan sihir adalah haram dan akad jual beli tersebut terbatal. Ini adalah kerana barangan sihir adalah barang yang tidak sah untuk dijual beli.
Sekiranya sudah dibeli, barang tersebut perlu dibuang dan dihapuskan. Umat Islam dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu sihir sekalipun ia dijual secara terbuka. Wallahualam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI