fbpx

Indonesia negara paling pemurah, Malaysia tempat ke-20

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDONESIA menjadi negara paling pemurah untuk tahun ketujuh berturut-turut. - Foto AFP

JAKARTA – Indonesia mengungguli tempat pertama negara paling pemurah di dunia untuk tahun ketujuh berturut-turut dalam Indeks Pemberian Dunia apabila sembilan daripada 10  rakyatnya mendermakan wang bagi tujuan amal, lapor portal berita VNExpress semalam.

Menurut Indeks Pemberian Dunia (WGI) 2024 oleh Yayasan Bantuan Amal (CAF), enam daripada 10  warga Indonesia  turut meluangkan masa mereka untuk membantu orang lain.

Indonesia menduduki tempat pertama dengan mendapat 74 markah dan berjaya mengatasi Myanmar pada 2017, kata CAF.

Indeks itu dikeluarkan berdasarkan kaji selidik yang dilakukan pada 2023, termasuk maklum balas daripada 145,702 responden di 142 buah negara dan wilayah. Setiap responden perlu menjawab tiga soalan mengenai tindakan mereka tentang badan amal.

Soalan itu berkisar sama ada responden mendermakan wang untuk badan amal dan meluangkan masa secara sukarela bagi membantu organisasi berkaitan serta menolong orang tidak dikenali.

Purata maklum balas positif dikira untuk menghasilkan skor indeks bagi setiap negara dengan markah berkisar antara 0 hingga 100 mata.

Kenya menduduki tempat kedua dengan 63 mata, meningkat daripada tempat ketiga tahun lalu. 

Singapura pula naik 19 anak tangga untuk menduduki tempat ketiga dengan 61 mata ekoran inisiatif kerajaan yang menggalakkan pemberian amal dan sukarelawan.

Selebihnya daripada tujuh negara dalam kedudukan 10 teratas ialah Gambia, Nigeria, Amerika Syarikat (AS), Ukraine, Australia, Emiriyah Arab Bersatu dan Malta.

Myanmar pula menduduki tempat ke-19 diikuti Malaysia di tangga ke-20 yang mendapat 50 markah untuk mengatasi Norway (21) dan Britain (22). – Agensi  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI