fbpx

DUN Selangor: Penyewa haram PPR digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Kerajaan negeri telah mengenal pasti unit-unit rumah dalam Program Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor yang terlibat dalam penyewaan haram dan pemindahan tidak rasmi unit berkenaan.

Exco Perumahan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, ini hasil operasi bancian Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) pada Januari dan Februari lalu terhadap unit PPR yang dihuni bukan penama asal atau sewa atas sewa (sublet).

“Kadang-kadang mereka ini penyewa asal keluar dan beri kepada anaknya mungkin tanpa beritahu kepada pengurusan, ini berlakunya sublet.

“Ada juga tidak dapat dikesan kerana mereka tiada di rumah semasa bancian dilakukan. Kita juga berpandukan kepada laporan daripada jiran-jiran yang menyatakan berlakunya sublet rumah tersebut,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan S. Preakas (PH – Kota Kemuning) yang ingin mengetahui pemulihan perumahan PPR termasuk status pemutihan secara terperinci.

Kata Borhan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat memaklumkan tindakan penamatan atau pemutihan telah diambil terhadap penyewa-penyewa unit tersebut,

Tegasnya, sebanyak 29 notis telah dikeluarkan bagi kesalahan sublet di PPR Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini.

“Secara terperincinya, status pemulihan tersebut melibatkan 17 unit yang telah keluar atau mengosongkan unit, pengakuan penama tinggal bersama (5), tempoh pengosongan belum tamat (4), pemotongan bekalan air atau dalam proses pindah keluar (2) dan satu tawaran ke Skim Smart Sewa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak dua projek PPR sedang dirancang kerajaan negeri bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membantu golongan B40 di Selangor.

“Ini melibatkan 200 unit di PPR Kampung Dato’ Ahmad Razali, Sepang dan PPR Harmoni Madani di Bestari Jaya, Kuala Selangor sebanyak 245 unit,” katanya.

Sebelum ini, isu penyewaan PPR dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) turut diluahkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dengan menegaskan pemilikan rumah tidak akan selesai selagi wujud budaya pemilik rumah tidak bertanggungjawab yang membeli kediaman tersebut untuk disewakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI