fbpx

DUN Selangor: Cinta olok-olok warga asing dapatkan lesen berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suee Lim.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri bersedia menggubal undang-undang pemberian lesen perniagaan kepada warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing bagi mengelakkan pemanipulasian lesen.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya mengakui wujud perkara tersebut seterusnya menyukarkan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, kerjasama akan dilakukan dengan semua agensi dalam mencari pendekatan holistik berhubung perkara tersebut.

“Itu cinta olok-olok atau atau cinta cari peluang bagi gunakan perkahwinan untuk berniaga. Ini bukan cinta sejati.

“Memang wujud di lapangan di sana sini dan kadang-kadang sukar nak buat penguatkuasaan. Kita pergi ke sana (premis) nama isteri yang merupakan warga tempatan tetapi di belakangnya warga asing,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Abbas Salimmi Che Adzmi@ Azmi (PH -Seri Serdang) sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menggubal enakmen bagi menangani gejala warga asing berkahwin dengan warga tempatan untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Jelas Suee Lim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, kemajuan ekonomi yang dicapai Malaysia dan Selangor khususnya menjadikannya sebagai lubuk emas di kalangan warga asing.

“Mereka suka datang dan senang cari nafkah hidup. Jadi ini tarikan kepada mereka. Malah, (ada) warga asing pun sudah lama dan serasi dengan warga tempatan. Berkemungkinan ketampanan atau kekacakan menarik minat warga tempatan dan berkahwin mereka,” ujarnya.

Ketika menjawab soalan asal Wan Dzahanurin Ahmad (PH – Sungai Kandis), Suee Lim menegaskan sebanyak 32 lesen perniagaan telah dibatalkan kerana menyalahgunakan lesen dengan menyewakannya kepada warga asing.

Secara pecahan, kata beliau, ini melibatkan 16 lesen di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (5) selain Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Daerah Sabak Bernam masing-masing tiga serta dua lesen bagi Majlis Perbandaran Kuala Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI