KUALA LUMPUR – Seorang duda anak dua didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu pembelian bagi 36 keping tiket konsert penyanyi antarabangsa terkenal Andy Lau dan Jay Chou.
Bagaimanapun tertuduh Thomas Lee Huat Sheng, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki yang juga ejen hartanah berusia 38 tahun dengan memperdayakannya dalam urusan mendapatkan 16 tiket konsert VIP Today…Is The Day Andy Lau Concert Tour 2024 In Malaysia dan 20 keping tiket Konsert Seat VIP Jay Chou’S Carnival World Tour 2024 Concert In Malaysia.
Kedua-dua konsert itu dijadualkan masing-masing pada 24 Oktober hingga 27 Oktober 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil dan 26 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perbuatan itu telah mendorong mangsa membuat pemindahan wang berjumlah RM67,608 menerusi tiga kali transaksi ke akaun bank milik tertuduh yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bandar Kinrara, Puchong di sini antara 25 Mei hingga 5 September lalu yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Norashikin Ibrahim memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu dengan alasan tertuduh merupakan bapa tunggal dua anak serta mengalami penyakit bipolar.
“Tertuduh mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun, tidak bekerja dan kini tinggal bersama keluarganya,” kata peguam itu.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Aina Azahra membenarkan tertuduh diikat jamin jumlah sama seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan iaitu RM10,000.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari 2025 bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE