fbpx

Dua hotel diarah tutup dapur berkerak, ada najis tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN dapur sebuah hotel yang didapati berkerak dan mempunyai najis tikus dalam pemeriksaan dijalankan oleh JKN Melaka, minggu lalu.

MELAKA – Dua hotel di negeri ini diarahkan untuk menutup bahagian dapur masing-masing selepas dikesan kotor dengan keadaan tempat memasak berkerak dan mempunyai najis tikus dalam serbuan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) negeri, minggu lalu.

Pengarah JKN Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, operasi itu telah dijalankan oleh penguat kuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bersama Unit Inspektorat dan Perundangan melibatkan 41 buah hotel diperiksa pada 11 dan 12 November lalu.

Katanya, operasi berkenaan dilakukan di bawah Akta Makanan 1983, advokasi Akta Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan kebersihan persekitaran hotel di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).

“JKN telah melakukan serbuan dan hasilnya dua buah hotel telah diarahkan menutup bahagian dapur masakan selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana terlalu kotor dengan penemuan najis tikus serta lipas.

“Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebanyak 33 kompaun kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai RM11,475.00,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya, selain pemantauan keselamatan makanan, JKN Melaka juga telah melaksanakan pemeriksaan kebersihan persekitaran premis dengan enam buah hotel dikesan mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

“Bagi advokasi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), pihak pengurusan hotel diberi penerangan berkaitan penguatkuasaan pelabelan tanda larangan merokok yang baru selaras dengan pewartaan Akta 852.

“JKN Melaka akan meningkatkan pemantauan ke atas semua premis- premis khususnya hotel di sekitar negeri Melaka bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,“ ujarnya.

Jelas Ruzita, operasi itu dilaksanakan sebagai persiapan bagi memastikan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 yang bakal berjalan serentak dapat memberi jaminan keselamatan industri makanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI