Baru-baru ini, saya ada pergi ke klinik gigi untuk mencabut gigi bongsu. Kesan daripada pembedahan kecil tersebut, banyak darah keluar daripada celahan gigi dan proses untuk kawasan itu kering mengambil masa beberapa hari. Permasalahan yang timbul, semasa ingin solat, darah keluar agak banyak dan saya tak selesa dengan keadaan tersebut. Saya tak letak kapas di kawasan tersebut supaya lebih selesa membaca bacaan dalam solat.
Apakah yang perlu saya lakukan? Adakah dibolehkan untuk menelan darah tersebut?
Jawapan: Tidak dibenarkan menelan darah kerana ia merupakan najis kotoran yang haram ditelan dan diminum. Bahkan dalam mazhab Syafie menyebut perbuatan makan dan minum termasuklah menelan darah boleh membatalkan solat sekiranya dibuat secara sengaja dan kuantitinya banyak walaupun pelakunya tidak mengetahui perihal keharamannya.
Sebagai jalan keluar, hendaklah menyediakan kain seperti sapu tangan, tisu dan sebagainya sebelum memulakan solat. Kemudian, darah yang penuh diludah ke arah kain yang dibawa bersama. Seterusnya, lipat dan tutup kain tersebut supaya darah tersebut tidak terkeluar.
Sebaiknya diasingkan kain tersebut daripada anggota badan sebagai langkah paling berjaga-jaga (ahwat). Namun, sekiranya dikhuatiri mengotori kawasan masjid, maka dibolehkan untuk menyimpan kain tersebut dalam kocek seluar, kocek baju dan sebagainya.
Dalam masa sama, sekiranya pendarahan berlaku sebelum solat didirikan, sebaiknya menunggu darah tersebut berhenti terlebih dahulu lebih-lebih lagi dalam keadaan waktu solat masih panjang.
Sekiranya waktu sudah terhad, boleh lakukan seperti yang dicadangkan di atas. Berkenaan isu menelan darah ketika solat, kami melihat ia tidak dibenarkan atas sebab darah merupakan najis kotoran yang haram ditelan dan dimakan melainkan dalam keadaan darurat dan tiada alternatif lain.
Terdapat hadis yang menawarkan jalan keluar terhadap permasalahan yang berlaku. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda: “Apabila salah seorang di antara kalian berdiri menunaikan solat, sesungguhnya dia sedang berhadapan dengan Tuhannya, atau sesungguhnya Tuhannya antara dia dan kiblat, maka janganlah dia meludah ke arah kiblat, tetapi lakukanlah ke arah kirinya atau ke bawah telapak kakinya (kirinya).” Kemudian Nabi SAW memegang bahagian hujung kainnya dan meludah di dalamnya, setelah itu baginda melipat kain tersebut lantas berkata: “Atau beliau melakukan sebegini.” (Riwayat al-Bukhari, 405)
Hadis di atas mengajarkan kepada mereka yang merasa tidak selesa menanggung darah yang penuh di mulut. Caranya, meludah darah tersebut ke arah kain seperti sapu tangan, tisu, baju atau seumpama dengannya.
Kain tersebut sebaiknya diasingkan daripada badan dan diri bagi mengelakkan daripada menanggung najis.
Namun begitu, sekiranya sukar dilakukan dan ditakuti mengotorkan kawasan masjid, maka dibenarkan untuk menyimpannya di kawasan seperti poket baju dan sebagainya.
Syeikh Zainuddin al-Ma’bari membahaskan isu ini dalam kitabnya: Sah solat bagi mereka yang gusinya berdarah walaupun belum membasuh mulut selagi mana tidak tertelan air liur yang bercampur darah tersebut.
Hal ini kerana darah yang keluar daripada gusi merupakan kategori darah yang dimaafkan.
Namun, sekiranya darah tersebut keluar sebelum solat dimulakan dan berterusan selepasnya, maka hukumnya mengikut situasi.
Pertamanya, sekiranya pendarahan tersebut dijangka dapat terhenti dan waktu solat masih panjang maka perlu tunggu. Jika sebaliknya, maka teruskan sahaja solat sepertimana kes al-Salis (kencing tak lawas). (Rujuk: Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrah al-‘Ain, m/s 82)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Maka apabila aku memerintahkan kamu dengan suatu urusan, lakukanlah sekadar yang termampu dan apabila aku melarang kamu daripada sesuatu urusan, jauhilah ia.” (Riwayat Muslim, 1337)
Akhirnya, apabila Syariah menetapkan sesuatu perkara, ia juga memberikan kemudahan dan jalan keluar kepada hambanya khususnya mereka yang berada dalam kesulitan. Semoga Allah mudahkan urusan kita semua. Wallahu a’lam.