SALVADOR, Brazil – Juara dunia lima kali, Brazil sekali lagi gagal meraih keputusan positif meskipun mendominasi Uruguay apabila sekadar seri 1-1 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Fonte Nova Arena semalam.
Keputusan seri itu menyaksikan Selecao gagal untuk merekodkan kemenangan buat kali kedua berturut-turut selepas minggu lalu diikat Venezuela 1-1.
Tonggak pertahanan Brazil, Marquinhos berharap para penyokong bersabar dan terus memberikan sokongan padu kepada mereka dalam usaha mencapai tahap terbaik selepas ini.
“Walaupun banyak perkara boleh menyebabkan ramai orang hilang kepercayaan terhadap pasukan kebangsan tetapi kami cuma meminta mereka (penyokong) tidak hilang minat terhadap sukan ini.
“Kami masih melakukan beberapa kesilapan kerana fas peralihan ini masih baru dengan banyak perubahan sedang berlaku membabitkan pemain dan pasukan.
“Namun, kami dapat merasakan kesilapan itu semakin berkurangan. Jadi anda jangan terlalu bimbang dengan kedudukan sekarang kerana kami masih berada di posisi yang selamat,” kata Marquinhos.
Brazil sememangnya dilihat semakin hampir menemui tahap terbaik apabila berjaya memegang 62 peratus penguasaan padang dengan mempunyai 18 percubaan keseluruhan berbanding Uruguay cuma lapan sepanjang 90 minit.
Malangnya, tuah seakan tidak memihak apabila Uruguay terlebih dahulu membuka tirai jaringan melalui Federico Valverde (m-55) sebelum Gerson meledak gol menarik untuk menyamakan kedudukan buat Brazil pada minit ke-62.
Sebagai rekod, Brazil kini masih berada dalam posisi selamat untuk layak ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico sebagai enam pasukan terbaik zon Amerika Selatan apabila berada di kedudukan kelima, manakala Uruguay di tempat kedua. – AGENSI