KUCHING – Cubaan masuk enam warga Indonesia ke sini melalui lorong tikus gagal apabila ditahan oleh pasukan tentera darat.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 38 tahun itu ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) yang sedang melaksanakan rondaan di Sektor Pos GABMA Biawak, berhampiran sempadan Indonesia kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
“Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu telah dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai pada kesemua PATI itu, dengan mereka hanya membawa wang tunai, telefon bimbit, dompet dan beg pakaian.
Justeru, katanya laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat mengikut peraturan semasa. – KOSMO! ONLINE