KUALA TERENGGANU – Sebanyak 53 perkahwinan bawah umur melibatkan remaja perempuan Terengganu direkodkan dalam tempoh dua tahun sejak 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim mengakui antara faktor menyebabkan perkahwinan bawah umur tersebut ialah pergaulan bebas dan hamil luar nikah.
“Perkahwinan (bawah umur) berkenaan untuk mengelak berlakunya perkara luar jangka.
“Kebanyakan remaja perempuan yang berkahwin itu sudah tidak bersekolah. Perkahwinan tersebut dapat menyelamatkan mereka daripada gejala sosial lain,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Yusop Majid (Parti Pribumi Bersatu Malaysia – Permaisuri) berhubung kadar perkahwinan pasangan bawah umur di Terengganu.
Maliaman (Pas-Ajil) berkata, Kemaman merekodkan kadar perkahwinan bawah tertinggi iaitu 15 kes.
Tambah beliau, Besut pula mempunyai 13 kes perkahwinan bawah umur, Dungun (tujuh), Kuala Terengganu (lima), Setiu (lima), Hulu Terengganu dan Marang masing-masing tiga dan Kuala Nerus (dua). – KOSMO! ONLINE