BALIK PULAU – Empat pekerja sebuah syarikat kargo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah sewa, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Syaril Mohamad Roni, 24, Muhammad Syamir Sahimi, 20, Muhammad Shazwan Akmal Dzulkifli, 20 dan Mohd. Adam Zulkifli, 25, membuat pengakuan itu seteleh pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, masing-masing mereka yang berasal dari Kedah dan Kelantan tu didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Ara, Bayan Lepas antara pukul 2 hingga 5 pagi, 10 November lalu.
Pertuduhan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding, Jin Hong tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh terbabit adalah serius selain tiada faktor kesihatan dan usia sudah melebihi 16 tahun.
Hakim Ahzal kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap mereka dan menetapkan 7 Januari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Terdahulu, kira-kira 15 individu terdiri waris dan rakan tertuduh hadir ke mahkamah berkenaan.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua menjadi mangsa rogol bergilir-gilir sekumpulan empat lelaki termasuk individu dipercayai teman lelakinya dalam satu kejadian di kawasan Bayan Baru.
Bukan itu sahaja, remaja tersebut juga dipercayai dibawa menyaksikan perlawanan lumba haram di kawasan berkenaan selepas dinodai kesemua suspek tersebut. – KOSMO! ONLINE