fbpx

37 syarikat dilantik Pengelola Jemaah Haji 2025 – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im ketika melancarkan Majlis Serahan Lesen Pengelola Jemaah Haji Musim 1446H di Hotel Dorsett Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) melantik 37 syarikat pelancongan tempatan, termasuk anak syarikatnya Tabung Haj Travel & Services San Bhd (THTS) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1446H/2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, TH telah menambah bilangan PJH kepada 37 syarikat pelancongan tempatan bagi musim 1446H/2025 berbanding 25 syarikat PJH pada musim lalu.

Katanya, ini menunjukkan komitmen TH dalam memberi peluang kepada syarikat pelancongan tempatan yang telah memenuhi syarat dan kriteria bagi mengelola jemaah haji negara.

“Berdasarkan proses pemilihan, penilaian dan semakan yang dilakukan, saya yakin syarikat-syarikat PJH yang telah terpilih ini memiliki kapasiti yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia.

“Mana-mana syarikat pelancongan yang berminat untuk mengelolakan jemaah haji, mereka boleh memohon lesen melalui Sistem Agensi Haji yang boleh dicapai di laman web TH,” katanya pada Majlis Serahan Lesen Pengelola Jemaah Haji Musim 1446H hari ini.

Bagi memudahkan urusan haji ujar Mohd. Na’im, TH juga telah melancarkan Sistem Agensi Haji iaitu sistem digital memudahkan permohonan, penilaian dan pemantauan perkhidmatan yang disediakan oleh PJH.

“Sistem ini dijangka akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, mempercepatkan proses dan memudahkan pengawasan perkhidmatan sepanjang musim haji.

“Melalui inisiatif digital ini, kami percaya bahawa sistem ini akan memberikan kemudahan kepada pengurusan TH dan syarikat-syarikat PJH untuk mendapat akses kepada maklumat bagi memastikan ketelusan dalam operasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua PJH pada musim depan untuk terus menawarkan pakej ekonomi bernilai bawah RM50,000 sebagai inisiatif bagi membantu lebih ramai bakal jemaah untuk menunaikan ibadah berkenaan.

Tambah Mohd. Na’im, kerajaan akan terus memantau dan menangani isu penipuan pakej haji dan umrah yang sering menjadi isu hangat setiap tahun.

“Orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan tidak mahu kes yang sama berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini di mana ada jemaah haji terkandas akibat ditipu oleh syarikat tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan pakej haji,” jelasnya.

Mohd. Na’im turut memaklumkan, surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah akan mula dikeluarkan tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI