BENTONG – Sebanyak 167 inovasi berpotensi yang boleh digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dikenal pasti dalam tempoh tiga tahun penganjuran Pertandingan Inovasi Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Mala) 3.0.
Presiden Mala yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, sehubungan itu pertandingan yang dimulakan sejak 2022 itu akan diteruskan setiap tahun sekali gus menjadi platform perkongsian inovasi untuk dilaksanakan oleh PBT seluruh negara.
“Itu sebab Mala ambil kesempatan adakan pertandingan inovasi ini setiap tahun supaya anggota dalam kalangan komuniti ini dapat bersama dengan PBT lain mendapatkan satu ‘best practices’ yang mungkin ada dekat PBT lain tetapi tidak ada pada PBT itu sendiri.
“Kalau benda itu ada, contohnya di Majlis Perbandaran Bentong (MPB) mungkin MBMB boleh datang belajar untuk kita praktikkan di kawasan kami pula,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran Pertandingan Inovasi Mala 3.0 di Dewan MBP di sini hari ini.
Menurut Shadan, pertandingan yang masuk tahun ketiga itu menunjukkan trend peningkatan penyertaan dengan menyaksikan 67 penyertaan tahun ini berbanding pada tahun lalu sebanyak 52 penyertaan dan pada 2022 sebanyak 48 penyertaan.
Katanya, pertandingan itu menawarkan hadiah lumayan berupa kontrak bernilai RM1.2 juta kepada peserta yang mendapat tempat pertama selain piala dan sijil.
Bagaimanapun katanya, objektif pertandingan itu bukanlah bagi merebut tempat pertama semata-mata, tetapi bagi menghasilkan inovasi yang akan memberikan impak tinggi kepada masyarakat setempat.
“Ia memang satu pertandingan tetapi bukan itu sasaran dia, yang sebenar bila inovasi dapat dihasilkan ia akan memberikan impak yang cukup tinggi kepada masyarakat setempat dan PBT itu sendiri sebab kita tahu hasil inovasi ini ciptaan daripada anggota PBT sendiri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE