fbpx

Voli cantik Martinez julang Argentina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARTINEZ meraikan jaringan bersama Messi (kanan) selepas mereka memainkan peranan menghasilkan gol buat Argentina. - AFP

BUENOS AIRES – Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez muncul wira Argentina apabila meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 ke atas Peru pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di La Bombonera pagi tadi.

Ia kembali meletakkan juara dunia itu kembali ke landasan kemenangan selepas tewas mengejut 1-2 kepada Paraguay dalam aksi terdahulu, sekali gus melebarkan penguasaan di tangga teratas dengan kelebihan lima mata.

Pencabar terdekat, Uruguay di tangga kedua dengan 20 mata selepas terikat 1-1 menentang Brazil dalam satu lagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan yang berlangsung pagi tadi.

Pengendali Argentina, Lionel Scaloni bagaimanapun masih belum berpuas hati kerana pasukannya sekadar menang dengan satu gol biarpun menguasai keseluruhan perlawanan berbanding lawan yang langsung tiada percubaan tepat.

“Mulai sekarang, setiap pemain kami perlu bermain pada tahap terbaik mereka sebelum kami membuat keputusan mengenai siapa akan diturunkan dalam mana-mana perlawanan.

“Amat penting untuk mereka mendapat minit permainan yang cukup (bersama kelab) jika mahu berikan yang terbaik buat pasukan kebangsaan,” kata Scaloni.

Dalam aksi itu, Martinez memanfaatkan hantaran cantik daripada Lionel Messi dengan melakukan rembatan voli ke penjuru atas kanan gawang menewaskan penjaga gol Peru, Pedro Gallese pada minit ke-55.

Ia adalah gol ke-32 buat Martinez di pentas antarabangsa, menyamai jumlah jaringan legenda negara itu, Diego Maradona sebagai penjaring kelima terbanyak sepanjang zaman Argentina. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI