KUALA LUMPUR – Tangkapan penyalahgunaan dadah di Kedah meningkat 17.3 peratus atau seramai 17,278 kes berbanding 14,284 kes sepanjang tahun lalu.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah tersebut, daerah Pendang mencatatkan 1,116 kes tangkapan sehingga Ogos.
Beliau berkata, jumlah klien (penagih) yang mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di bawah seliaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh Januari sehingga September lalu adalah seramai 5,960 orang.
“Bagi daerah Pendang pula, seramai 462 orang sedang menjalankan rawatan dan pemulihan dalam komuniti.
“Mengikut statistik, di Pendang klien yang sedang mendapatkan rawatan pemulihan dalam komuniti berumur antara 19 hingga 39 tahun.
“Dari segi komposisi kaum, 454 klien adalah daripada bangsa Melayu, manakala selebihnya, iaitu lapan orang, terdiri daripada kaum lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang bertanyakan mengenai jumlah tangkapan kes penyalahgunaan dadah di negeri Kedah khususnya di daerah Pendang.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, peningkatan kes tersebut mencerminkan keperluan berterusan untuk penguatkuasaan dan program pemulihan dalam komuniti bagi membanteras isu penyalahgunaan dadah di negeri itu.-KOSMO! ONLINE