STOCKHOLM – Sweden pada kelmarin mula mengedarkan kira-kira lima juta risalah kepada penduduk dengan menggesa mereka supaya bersedia menghadapi kebarangkalian peperangan tercetus, lapor akhbar The Economics Times.
Dalam masa sama, negara jirannya, Finland melancarkan laman web persediaan perang baharu.
Kedua-dua Sweden dan Finland menamatkan dasar untuk tidak terlibat dalam mana-mana pakatan tentera selama berdekad-dekad, dengan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Sejak permulaan perang, Stockholm telah berulang kali menggesa rakyatnya untuk bersedia dari segi mental dan logistik untuk sebarang kemungkinan tercetusnya perang, dengan memetik keadaan keselamatan yang serius di sekitarnya.
Buku kecil bertajuk ‘If Crisis or War Comes’ yang dihantar oleh Agensi Kontingensi Awam Sweden (MSB) mengandungi maklumat tentang cara bersiap sedia menghadapi kecemasan seperti perang, bencana alam atau serangan siber.
Ia adalah versi terkini risalah yang telah dikeluarkan oleh Sweden sebanyak lima kali sejak Perang Dunia Kedua.
“Situasi keselamatan adalah serius dan kita semua perlu mengukuhkan daya tahan untuk menghadapi pelbagai krisis dan kebarangkalian peperangan,” kata Pengarah MSB, Mikael Frisell dalam satu kenyataan.
Risalah setebal 32 halaman itu menggariskan dengan ilustrasi mudah mengenai ancaman yang dihadapi negara Nordik termasuk konflik ketenteraan, bencana alam, serangan siber dan keganasan.
Ia termasuk tips untuk kesediaan seperti menyimpan makanan tidak mudah rosak dalam stok dan menyimpan air.
MSB berkata, versi 2024 yang dikemas kini mempunyai tumpuan yang lebih kuat pada persediaan untuk berperang.
Dalam pada itu, Finland yang berkongsi sempadan 1,340 kilometer dengan Russia, melancarkan laman web pengumpul maklumat mengenai kesiagaan menghadapi krisis yang berbeza. – AGENSI