fbpx

Sukar penuhi semua permintaan bina stadium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH menjelaskan pihaknya tidak boleh merealisasikan permintaan semua persatuan sukan untuk membina stadium sendiri. - FB HANNAH YEOH

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengakui kesukaran untuk memenuhi semua permintaan daripada persatuan-persatuan sukan yang ingin memiliki stadium khas untuk sukan masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, walaupun KBS sentiasa menyokong pembangunan sukan, namun kemampuan untuk membina dan menyelenggara stadium khas bagi setiap sukan adalah cukup tinggi.

Menurutnya, terdapat pelbagai pilihan stadium sedia ada yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis sukan tetapi tidak semestinya setiap sukan memerlukan ‘rumah baharu’.

Oleh itu, KBS lebih cenderung untuk menaik taraf stadium yang sudah ada dan memberikan pengkhususan kepada sukan tertentu, berbanding membina stadium baharu.

“Apabila kita bercakap tentang stadium, tidak semestinya kita perlu bina stadium baharu. Seperti sepak takraw, mereka juga sedang mencari stadium khas.

“Kita sebenarnya sudah mempunyai banyak stadium, namun apa yang kita perlukan adalah, stadium ini bukan sahaja milik KBS, tetapi ada banyak stadium milik pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata Hannah.

Hannah menambah, KBS terbuka untuk bekerjasama dengan pihak lain untuk menaik taraf stadium dan memberikan hak penamaan (naming rights) kepada sukan-sukan tertentu bagi memaksimumkan potensi stadium tersebut.

Namun, beliau menegaskan bahawa setiap persatuan sukan yang meminta stadium khas perlu mempunyai kemampuan untuk menyelenggara stadium berkenaan dengan baik, selain memahami bahawa tanggungjawab penyelenggaraan bukan terletak di bahu KBS sahaja.

“Setiap persatuan yang meminta stadium ini mesti tahu mereka perlu mempunyai keupayaan untuk menyelenggara stadium tersebut. Kita yang bina, kita yang selenggara.

“Ketika ini, kita sudah mempunyai 103 jenis sukan di Malaysia dan saya tidak mampu menyediakan 103 stadium untuk semua sukan,” jelas Hannah.

Ujarnya, KBS akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pihak berkepentingan lain untuk membina lebih banyak infrastruktur sukan yang boleh digunakan bersama.

“Apa yang kita sedang usahakan sekarang adalah mewujudkan lebih banyak kerjasama antara KBS dan KPT dalam membina infrastruktur sukan.

“Kedua-dua kementerian ini akan berganding bahu untuk memastikan kemudahan sukan lebih baik untuk atlet dan rakyat Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI