fbpx

‘Seorang mukmin tidak jatuh dalam lubang sama dua kali’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh dibawa keluar selepas dijatuhi hukuman enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU – Hakim Kanan Syarie, Kamalruazmi Ismail sempat menitipkan pesanan buat seorang tukang rumah yang juga duda sebelum menjatuhi hukuman atas kesalahan khalwat berulang.

“Seorang mukmin itu tidak jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Kamu (tertuduh) pernah disebat (sebelum ini), tetapi buat lagi (berkhalwat).

“Hukuman kali pertama (sebatan atas kesalahan khalwat) sepatutnya sudah memberikan keinsafan,” katanya ketika membacakan penghakimannya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku bersalah atas pertuduhan berdua-duaan dengan seorang wanita berusia 52 tahun yang bukan isteri dan mahramnya sehingga menimbul syak perbuatan tidak bermoral pada 16 Jun lalu di sebuah rumah di Pengkalan Ranggon, Kemaman.

Mohd. Affendi menjadi pesalah pertama di Terengganu yang dijatuhi hukuman enam sebatan di khalayak ramai.

Hakim Kamalruazmi berkata, hukuman sebatan ke atas bapa lima anak itu akan diadakan di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Ladang di sini selepas solat Jumaat pada 6 Disember ini.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mohd. Affendi didakwa mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman sebatan maksimum enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan khalwat kali kedua dan seterusnya berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini Mohd. Affendi menjadi pesalah pertama yang dikenakan hukuman sebatan kerana berkhalwat dengan wanita berusia dalam lingkungan 30-an pada 25 Januari lalu, namun hukuman itu dilaksanakan secara tertutup di penjara.

Pada 11 Julai 2023, Mohd. Affendi didenda RM2,700 juga atas kesalahan berkhalwat oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI