RIO DE JANEIRO – Ikon bola sepak Brazil, Ronaldo Nazario dilaporkan telah meletakkan sasaran utama untuk menjadi presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF).
Sekiranya dipilih, Ronaldo, 48, turut meletakkan visi untuk melantik pengurus Manchester City, Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan itu.
Berdasarkan laporan-laporan, bekas pemenang Piala Dunia 1994 dan 2002 itu bercadang untuk bertanding kerusi presiden CBF yang disandang Ednaldo Rodrigues ketika ini dalam pilihan raya dijadualkan berlangsung pada Mac tahun depan.
Kempen Ronaldo lebih tertumpu untuk mengembalikan zaman kegemilangan Selecao di pentas dunia dan merasakan Guardiola sebagai individu terbaik bagi merealisasikan impian tersebut.
Tidak dinafikan pengendali berusia 53 tahun dari Sepanyol itu dianggap salah seorang pengurus terbaik dalam sejarah bola sepak dunia menerusi taktikal genius selain memiliki koleksi trofi yang mengagumkan.
Bukan itu sahaja, kontrak Guardiola bersama City juga akan berakhir pada musim panas tahun depan sekali gus menjadikan beliau antara nama dikaitkan dengan kerusi panas sebagai ketua jurulatih Brazil.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana Ronaldo serta CBF memerlukan sesuatu yang konkrit termasuk bayaran gaji lumayan untuk memujuk Guardiola meninggalkan City dan bergelar ketua jurulatih pasukan kebangsaan buat kali pertama dalam kariernya.
Buat masa ini, pengendali Brazil, Dorival Junior dilihat gagal menampilkan keputusan diharapkan menerusi prestasi terumbang-ambing yang menyaksikan Selecao sekadar berada di kedudukan keempat kempen kelayakan Piala Dunia 2026. – AGENSI