KUALA PILAH – Pengasas ajaran Kumpulan Cahaya dijatuhkan hukuman penjara 45 bulan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah sejak September tahun lalu.
Tertuduh, Idris Ami, 60, yang merupakan warga Singapura dan bekerja sebagai pemandu forklift membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Sabarudin Bidin.
Sabarudin menetapkan 15 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan hukuman dilaksanakan selepas hukuman enam bulan penjara diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban selesai.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar berkaitan agama Islam kepada sekumpulan orang yang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya tanpa tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
Perbuatan itu dilakukan antara 2 September 2023 hingga 1 Disember di Kampung Sungai Dua Besar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 53 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Pindaan 2019. – KOSMO! ONLINE