HULU TERENGGANU – Seorang peneroka ditemukan lemas di dalam anak sungai berhampiran sebuah kilang kelapa sawit di Felda Jerangau Barat, Ajil di sini hari ini.
Mayat Chik Mamat, 76, ditemukan seorang penduduk yang pergi ke lokasi kejadian untuk menahan pukat pada pukul 8.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mayat warga emas itu dijumpai berhampiran pukat.
“Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat pada pukul 9.40 pagi. Mayat warga emas tenggelam sedalam satu meter dan dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zainul Mujahidin memberitahu, mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE