MUAR – Gara-gara melanggar lampu isyarat merah, seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sanggup cabut lari sejauh 180 kilometer sebelum meloloskan diri di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, sebelum kejadian, sekitar pukul 2.45 pagi, sebuah kereta peronda MPV Polis mengesan Toyota Hilux berwarna gelap melakukan kesalahan di Jalan Bakri, di sini.
“Pihak polis telah meminta pemandu kenderaan tersebut memberhentikan kenderaan dipandunya untuk pemeriksaan namun dia tidak beri kerjasama dan terus memecut laju.
“Polis kejar trak pikap itu sejauh 180 km dari Jalan Bakri, Muar sehingga ke Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur dengan bantuan Polis Melaka, Polis Trafik Bukit Aman dan Polis Trafik Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, bagaimanapun suspek berjaya meloloskan diri apabila kenderaan dipandunya menaiki tebing tinggi yang tidak boleh dilalui kenderaan polis sebelum memasuki laluan bertentangan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. -KOSMO! ONLINE