BEREGU lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menghidupkan peluang untuk melangkah ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 selepas mara ke pusingan kedua China Masters 2024.
Pada pusingan pertama berlangsung di Shenzhen Arena semalam, pilihan kelima kejohanan itu menampilkan aksi cukup sempurna menewaskan beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-12, 21-18.
Meskipun perlu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir ataupun final bagi mencerahkan peluang beraksi di WTF 2024, namun Aaron menjelaskan, mereka tetap mengambil fokus satu demi satu perlawanan.
“Saya fikir kami berjaya mengeluarkan permainan sendiri hari ini (semalam), jadi gembira kerana dapat mengekalkan aksi konsisten dalam kedua-dua set permainan. Kami juga cukup baik dalam tiga pukulan pertama.
“Kadang-kadang ia (kelayakan WTF) beri tekanan kepada kami, jadi lebih baik jika kami fokus satu demi satu perlawanan. Kami percaya pada diri sendiri dan jika buat yang terbaik, ia (kejayaan) akan datang,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebagai rekod, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu menghuni kedudukan ke-10 ranking Jelajah Dunia BWF, dua tangga dibezakan dengan kelayakan automatik ke kejohanan penutup tirai 2024 itu.
Pada ketika ini, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani hampir pasti melayakkan diri ke WTF 2024 apabila menghuni tangga ketiga kelayakan dengan satu lagi slot Malaysia bakal menjadi rebutan antara Aaron-Wooi Yik (No. 10) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (No. 7).
“Ia (perebutan) akan menjadi persaingan sihat antara kami dan satu lagi beregu Malaysia. Apa yang pasti, semua orang mahukan slot untuk mara ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou nanti,” ujar Aaron.