fbpx

Imigresen gempur kedai telefon gaji PATI di Bukit Bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di pusat beli belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur menggempur deretan kedai telefon dan menahan pekerja yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Operasi bermula pada pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketika serbuan dilakukan, terdapat cubaan PATI menyamar pelanggan untuk meloloskan diri, namun risikan pihak berkuasa sebelum ini membuktikan lelaki itu adalah pekerja.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan susulan risikan selama dua minggu selain aduan orang awam mengenai kebanjiran PATI di ibu negara.

Seramai 39 individu diperiksa dan 32 warga asing berusia 23 hingga 46 tahun ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki Bangladesh, Pakistan (18), dan India (tiga).

“Mereka yang ditahan dipercayai tidak mempunyai permit, permit tamat tempoh dan tidak mematuhi syarat permit untuk tinggal di negara ini. Majikan PATI tersebut turut disiasat kerana melindungi warga asing tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI