PUTRAJAYA – Garis masa berhubung Pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) bagi fasa kedua akan diumumkan secara lebih terperinci setelah mendapat kelulusan daripada Kabinet.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ketika ini Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan (MOF) masih sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk kriteria kelayakan.
“Kita sudah pun ada mesyuarat minggu lepas dan rancangan-rancangan mengenai garis masa (dan) pelaksanaan sedang dibincangkan. Perkara ini akan dibawa ke Kabinet dan apabila Kabinet telah bersetuju, baru Kementerian Ekonomi boleh mengumumkan garis masa itu.
“Sudah tentu kalau kerajaan membuat keputusan tentang kriteria siapa yang layak, itu akan melibatkan pembukaan semula (pendaftaran) Padu dalam satu tempoh masa kelak, kerana kita kena bagi ruang kepada mereka yang belum lagi mendaftar, untuk mendaftar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim Kedua di sini hari ini.
Pada 2 Julai lalu, media melaporkan kerajaan akan membuka semula pendaftaran Padu di bawah fasa kedua.
Rafizi dilaporkan berkata, ia bagi membolehkan mana-mana individu yang belum mendaftar dapat mengemas kini maklumat masing-masing mengikut tempoh yang akan ditetapkan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada orang awam yang tidak mendaftar menerusi Padu bakal menikmati subsidi atau sebaliknya, Rafizi menjelaskan bahawa perincian mengenai mekanisma itu akan diumumkan setelah ia dimuktamadkan. – KOSMO! ONLINE