SHAH ALAM – Management and Science University (MSU) menganjurkan Minggu Fesyen dalam menyemarakkan industri kreatif termasuk pertunjukan 49 rekaan pakaian pelajarnya.
Program tiga hari melalui School of Hospitality & Creative Arts (SHCA) dengan kerjasama UEDA College of Fashion itu berlangsung sehingga esok.
Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, program edisi kedua dianjurkan di universiti itu sendiri selepas kali pertama ia diadakan di Central I-City, pada tahun lalu dengan pelbagai aktiviti seperti bengkel pembelajaran peragaan fesyen, bengkel solekan kecantikan wajah dan lain-lain lagi.
“MSU Modest Selangor Runway 2024 merupakan aktiviti kemuncak kepada MSU Fashion Week dengan memaparkan sebanyak 49 pakaian rekaan 20 pelajar Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Fesyen dengan Pemasaran (Kepujian) dan diploma berkaitannya,” katanya ketika berucap pada MSU Modest Selangor Runway 2024 di MSU, hari ini.
Beliau memberitahu, program itu secara langsung memberikan pendedahan kepada pada pelajar dalam pentas peragaan dan komersil.
Malah ujarnya, sembilan pelajar fakulti berkenaan telah menyertai Guliacarla Cecchi International Competition of Fashion Tenth Edition di Florence, Itali pada 13 November lalu.
“Lebih membanggakan apabila dua pelajar kita, iaitu Arina Zahiralmas dan Indah Sharas Wati telah berjaya layak peringkat akhir pertandingan itu seterusnya mengharumkan nama MSU di peringkat dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE