KUALA LUMPUR – Hasrat skuad hoki wanita negara untuk menamatkan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 di tempat ketiga musnah apabila gagal membenam cabaran Jepun pada aksi penentuan tempat ketiga sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Rajgir, Bihar, India itu, skuad kendalian Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim tidak mampu untuk menyaingi kehebatan Jepun apabila akur dengan kekalahan 1-4.
Kekalahan itu sekali gus mengulangi keputusan sama yang dialami Malaysian Tigress pada aksi round robin, namun sekurang-kurangnya mereka tidak tumbang dengan jaringan besar apabila kalah tipis 1-2.
Turun sebagai pasukan bukan pilihan, pintu gol Malaysia bocor seawal minit ketiga permainan apabila Jepun memanfaatkan pukulan sudut penalti menerusi jaringan yang dilakukan Mayuri Horikawa bagi membolehkan mereka mendahului 1-0.
Jepun yang merupakan juara dua kali terus mengukuhkan cengkaman apabila meledak dua gol dalam tempoh empat minit hasil jaringan padang pada minit ke-24 dan 28 menerusi Hiroka Murayama dan Ayana Tamura.
Tersentak dengan tiga gol yang dijaringkan, pasukan negara cuba memperkemaskan permainan, namun masih belum mampu menyekat keghairahan Jepun yang terus menambah jaringan hasil pukulan sudut penalti Miyu Hasegawa pada minit ke-35.
Ketika perlawanan berbaki 12 minit, gol yang dinanti-nantikan Malaysia akhirnya tiba apabila Azmyra Mia Sofea Azhairy meledak gol saguhati buat pasukan negara menerusi jaringan padang.
Sebagai rekod, meskipun memulakan kempen kali ini dengan agak hambar menerusi dua kekalahan awal kepada India dan China, namun Malaysia berjaya melakukan kebangkitan seterusnya mara ke pusingan separuh akhir. – KOSMO! ONLINE