KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tidak mengisytiharkan lebih 70 jenis harta.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan prosiding kes itu hari ini.
Ini berikutan Daim, 86, telah meninggal dunia pada 13 November lalu.
Pada 27 Ogos lalu, pihak pendakwaan memohon agar Daim menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya.
Pendakwaan berhujah, permohonan dibuat kerana Dai sering memohon dikecualikan kehadiran pada prosiding mahkamah.
Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dihantar kepadanya pada 14 November 2023.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh buah kenderaan seperti Jaguar, Mercedes-Benz dan Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di sekitar ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.
Kesalahan dilakukan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 13 Disember 2023.
Sebelum ini, pihak pendakwaan menyatakan pihaknya belum mendapat keputusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut berhubung kes tersebut.
Menurut sumber AGC Timbalan Pendakwa Raya akan berbincang dengan SPRM terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diputuskan.
Allahyarham Daim meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat strok di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, Selangor pada pukul 8.21 pagi, 13 November lalu.
Semalam, isteri Allahyarham Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mahu supaya kes tersebut diteruskan.
Menurut Naimah, tiada keperluan untuk AGC atau Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menyemak semula atau memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim. – KOSMO! ONLINE