JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga India didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan merasuah Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebanyak RM1,000, tahun lalu.
Tertuduh, Kalayakarente Prasad, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pada ketika itu bekerja di kedai runcit didakwa telah memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada Pembantu Penguatkuasa di Jabatan Penguatkuasaan MBIP di Jalan Ronggeng 11, Taman Skudai Baru, Skudai di sini, pada pukul 11.50 pagi, 26 September 2023.
Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit berkenaan kerana meletakkan halangan dan membuat binaan kekal berupa sinki di kaki lima premis tanpa kebenaran yang merupakan kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fazal Lisam Abidin memberitahu mahkamah kesalahan tersebut tidak boleh dijamin tetapi menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.
Peguam mewakili tertuduh, Muhammad Faizzudin Abd. Ra’fik bagaimanapun memohon jaminan sebanyak RM3,000 dibenarkan.-KOSMO! ONLINE