PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari tingkat 15 sebuah kondominium sekitar Kota Damansara, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada seorang wanita tempatan pukul 8.15 pagi.
“Sepasukan polis Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya segera ke tempat kejadian.
“Hasil siasatan mendapati seorang lelaki tempatan telah terjun dari tingkat 15 kondominium dan ditemui di tingkat bawah bangunan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak perubatan dari Hospital Sungai Buloh mengesahkan kematian mangsa.
“Satu kertas siasatan di bawah kematian mengejut (SDR) telah dibuka untuk siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Penyiasat kes, Sarjan Muhammad Fitri Husin (Sarjan aktiviti Balai Polis Kota Damansara) di talian 012-7896691 atau Balai Polis Kota Damansara di talian 03-61421222 atau IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE