MUAR – Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala tujuh lagi ahli keluarganya cedera dalam satu kemalangan tragis dua kenderaan di Kilometer 148.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farizan Mokhtar, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 1.59 tengah hari tadi membabitkan treler dan kereta Proton Iswara.
“Kereta itu membawa empat orang dewasa dan empat kanak-kanak, manakala lori treler dipandu oleh seorang lelaki dewasa. Malangnya, seorang kanak-kanak lelaki dari kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa lain mengalami pelbagai kecederaan dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut manakala pemandu treler tidak cedera. Punca kemalangan masih disiasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, tular di laman sosial memaparkan satu kemalangan membabitkan sebuah treler dengan beberapa buah kenderaan di Kilometer 148 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dari Bukit Gambir ke Pagoh, di sini hari ini.
Dalam rakaman video berdurasi 38 saat itu, beberapa lelaki dewasa dan kanak-kanak terbaring mengalami kecederaan di tepi lebuh raya berkenaan. – KOSMO! ONLINE