SHAH ALAM – Pemilik agensi insurans, Junaida Abdul Rahim yang dilaporkan hilang selama lima hari sejak Jumaat lalu ditemui dalam keadaan selamat di Kuantan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, perkara itu disahkan oleh ahli keluarga wanita berkenaan kepada pihaknya malam tadi.
“Pada lewat malam tadi, ahli keluarga itu memaklumkan wanita tersebut berada di Kuantan. Hari ini dia akan pulang ke Shah Alam untuk diambil keterangan oleh pegawai penyiasat,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online malam tadi melaporkan Junaida dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu selepas keluar ke tempat kerjanya di Subang Jaya dekat sini.
Siasatan mendapati Junaida keluar dari rumah sewanya di Seksyen 17 di sini dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton kira-kira pukul 11 pagi.
Wanita itu bagaimanapun gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah, namun kenderaan dijumpai ditemui semalam di tepi Jalan Ampang berhampiran sebuah kondominium. -KOSMO!ONLINE