PUTRAJAYA – Kerajaan ambil maklum dan sentiasa terbuka dalam menerima sebarang pandangan serta kritikan terhadap prestasi anggota Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, maklum balas yang diberikan oleh pelbagai pihak adalah penting dalam membantu kerajaan untuk mengurus program reformasi serta mengimbangkannya.
“Saya mengalu-alukan pandangan dari pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai keutamaan berbeza mengenai apa yang mereka harapkan.
“Saya rasa setiap kumpulan berhak memberikan maklum balas mereka dan sebagai anggota Kabinet, saya tidak melihat sebarang maklum balas secara negatif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Innovathon Musim Kedua di sini hari ini.
Rafizi berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang memberikan gred ‘D’ terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pemarkahan yang diberi menunjukkan wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.- KOSMO! ONLINE