fbpx

Farid, Diana sah suami isteri kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farid dan Diana ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah hari ini. Foto oleh oleh Amir Khalid/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini mengesahkan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle sah sebagai suami isteri buat kali kedua selepas proses rujuk pada tahun lalu.

Hakim Syarie Abdul Fattah Kamarudin memutuskan demikian selepas perkara itu disahkan kedua-dua belah pihak dalam prosiding secara tertutup pada sebutan kali pertama kes penceraian mereka.

Hari ini adalah prosiding pengesahan rujuk pasangan itu sebelum mahkamah mendengar permohonan cerai tersebut.

Sujurus tamat prosiding, peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditemui selepas berkata, berikutan pengesahan rujuk itu, mahkamah kemudian menetapkan 2 Disember ini bagi prosiding permohonan cerai.

“Permohonan pertama (pengesahan rujuk) sudah selesai, mahkamah sudah bagi perintah (untuk mengesahkan rujuk). Jadi pada tarikh akan datang Diana (plaintif) akan kembali bagi permohonan cerai terhadap Farid (defendan),” kata Akberdin.

Dalam pada itu, ditanya sekiranya Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana pada prosiding akan datang, peguam syarie itu memaklumkan ia mungkin akan ke proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Pada prosiding terdahulu, Akberdin memaklumkan tiada lagi persefahaman dan perbalahan yang panjang membuatkan Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, tekad memfailkan penceraian kali kedua terhadap suaminya itu.

Menurut Akberdin pemfailan permohonan cerai hari ini dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 43 berkata, pihaknya mengesahkan anak guamnya ada membuat rujuk kepada Diana pada Ogos tahun lalu selain tiada bantahan berhubung pengesahan rujuk itu.

“Pada hari ini adalah bagi pengesahan rujuk. Kita hanya mendengar pengesahan rujuk sahaja dan mahkamah telah pun mengesahkan rujuk yang telah dibuat oleh Farid. Kita juga tiada bantahan berhubung perkara itu.

“Permohonan cerai tidak boleh diteruskan pada hari ini kerana dokumen-dokumen perlu diselesaikan terlebih dahulu,” kata Fakhrul yang turut ditemui selepas tamat prosiding.

Sebelum ini Diana meminta Farid menghormati permintaannya agar segera berpindah dari kediaman memandangkan mereka bakal bercerai.

Kenyataan pelakon filem Imaginur itu dikeluarkan susulan dakwaan Farid yang membuat pengakuan mereka masih lagi berhubung dan tinggal sebumbung.

Malah, pelakon dan pengarah terbabit turut menyifatkan kemelut rumah tangga yang berlaku buat kali kedua bersama isterinya itu sekadar perselisihan faham kecil.

Media sebelum ini melaporkan Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian buat kali kedua menerusi perkongsian dalam Instagram Story.

Difahamkan, ketika itu Farid sedang menjalani penggambaran filem baharu bertajuk Bisikan Dosa di Kuang, Selangor.

Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari.

Ketika itu alasan yang diberikan adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana kemudian sah bercerai talak satu menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos 2023, namun mereka rujuk sebulan kemudian.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI