LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot menjadi individu paling gembira selepas menyaksikan kaptennya, Virgil Van Dijk kembali ke pangkuan pasukan selepas dilepaskan daripada aksi antarabangsa bersama Belanda lebih awal.
Ketua Jurulatih Belanda, Ronald Koeman mengesahkan bahawa Van Dijk dan pemain tengah Barcelona, Frenkie De Jong dilepaskan lebih awal dan tidak beraksi menentang Bosnia pada aksi Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi.
“Untuk Frenkie dan Virgil, kami berpendapat bahawa lebih elok mereka dilepaskan pulang ke kelab lebih awal. Ia disebabkan faktor kesihatan dan sebagai langkah berjaga-jaga, keputusan itu dilakukan, malah mereka juga bersetuju dengan pandangan itu,” kata Koeman.
De Jong dan Van Dijk sebelum ini beraksi bersama skuad The Oranje ketika membantu pasukan itu menewaskan Hungary 4-0 di Amsterdam sekali gus membolehkan mereka layak ke saingan suku akhir pada Mac nanti.
Kepulangan Van Dijk ke Anfield membolehkan pemain itu berehat lebih lama untuk mendapatkan semula tahap kecergasan sebelum turun berdepan Southampton pada hujung minggu ini.
Selepas perlawanan itu, Liverpool bakal berdepan cabaran sengit berdepan Real Madrid untuk aksi Liga Juara-Juara sebelum kembali ke EPL menghadapi Manchester City, Newcastle United dan Everton. – AGENSI