JAGUH skuasy negara, Ng Eain Yow mendedahkan strategi baharu yang diterapkannya ternyata membuahkan hasil cemerlang, namun menegaskan enggan leka dengan kejayaan tersebut dan bertekad mengekalkan fokus untuk menghadapi cabaran di kejohanan seterusnya.
Eain Yow mempamerkan aksi mengagumkan dengan kemenangan 11-7, 11-7, 11-7 ke atas pilihan utama, Youssef Soliman dari Mesir dalam aksi final Piala Skuasy ACE Malaysia 2024 di The Curve Damansara baru-baru ini.
“Sebelum ini, setiap kali bermain, saya sering menunjukkan banyak emosi, menjerit dan meraikan setiap mata. Tetapi hari ini, fokus saya begitu mendalam sehingga saya memilih untuk tidak meraikan atau menunjukkan apa-apa reaksi sepanjang perlawanan.
“Hanya apabila pertandingan berakhir, barulah saya mula meraikan kerana saya benar-benar memberikan tumpuan sepenuhnya pada permainan. Ketika bermain, saya cuba menggabungkan segala-galanya dalam strategi.
“Fokus utama saya adalah mengawal apa yang boleh dikawal, satu demi satu mata. Setiap perlawanan adalah pengalaman baharu, jadi saya tidak mahu terbeban dengan kekalahan sebelum ini,” kata Eain Yow.
Pemain berusia 25 tahun itu turut berkongsi bahawa pengalamannya sebelum ini banyak mengajarnya untuk menghadapi tekanan dan perlawanan berintensiti tinggi.
“Menghadapi pilihan utama seperti (Youssef) Soliman memerlukan persiapan fizikal dan mental yang menyeluruh. Strategi baharu ini sangat membantu saya dalam perlawanan ini,” tambahnya.
Kejayaan itu hadir selepas Eain Yow mengalami kekecewaan pada kejohanan di China baru-baru ini dan kini fokusnya beralih kepada Terbuka Singapura minggu ini di mana dia berhasrat untuk mengekalkan momentum kemenangan.