SHAH ALAM – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta meneliti garis panduan mengenai inap desa di kawasan sawah bagi situasi menang-menang dalam merancakkan agropelancongan
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, ini berikutan kemunculan banyak inap desa di lokaliti tersebut sama ada di Anjung Utara atau Selatan Selangor yang diusahakan pengusaha.
Katanya, kawasan sawah tidak boleh diteroka sewenang-wenangnya ekoran merupakan lokaliti bagi sekuriti makanan negara.
“Ini isu berlanjutan namun saya maklum, faham, turun meninjau serta menelitinya. Namun, kita tidak boleh gunakan satu pendekatan bagi pelepasan secara keseluruhan. Kena ikut undang-undang.
“Kalau sewenang-wenangnya seolah-olah beri galakan tetapi kalau dia (pengusaha) tidak buat di situ, kita nak halang pun sukar. Jadi, kita dalam dilema.
“Oleh itu, kita ambil pendekatan menang-menang bagaimana hendak membantu dan tidak mahu beri signal boleh diteroka dan ditukar kaedah guna tanah dan sebagainya,” katanya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Nurul Syazwani Noh (PN – Permatang) dalam soalan tambahannya ingin mengetahui sama ada kerajaan negeri memberikan insentif pelepasan khas dalam membantu pengusaha inap desa di kawasan sawah padi berhubung kebenaran menduduki (KM).
Suee Lim memaklumkan, antara perkara boleh dicadangkan adalah menerusi permit sementara bagi pemutihan inap desa dengan kelayakan, teknikal dan perancangan minimum.
Ketika menjawab soalan Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin (PN – Sungai Burong) berkaitan kemunculan inap desa yang tidak berdaftar seterusnya menyukarkan memperoleh KM pula, Suee Lim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan menyatakan inap desa menjadi satu trend dengan ramai pengunjung bandar meminati suasana desa.
“Keperluan minimum memang ada bagi pengusahanya untuk wajib berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Permohonan KM memang diperlukan kerana sekiranya tiada tidak akan dilindungi insurans yang mendatang isu keselamatan. Apabila berlaku sesuai insiden PBT dan kerajaan akan dipersalahkan.
“Namun begitu, kerajaan ambil maklum dan prihatin terhadap para pengusaha inap desa skala kecil dan boleh buat permohonan dan dipanjangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Kalau tidak rigid sangat, kita boleh pertimbangkan untuk permit sementara. Kita cuba bantu dan bukan untuk menyusahkan dengan tujuan membangunkan industri agropelancongan Selangor,” katanya. -KOSMO!ONLINE