PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima kunjungan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam di Putrajaya, esok.
Anwar berkata, Ahad ini pula beliau berangkat ke Korea Selatan untuk meneroka peluang ekonomi baharu dan mengukuhkan kerjasama yang sedia erat antara kedua-dua negara.
Kata beliau, pihaknya juga sedang merangka persiapan menerima kunjungan rasmi barisan pemimpin utama dari pelbagai negara pada Disember ini.
Justeru, beliau berharap seluruh rakyat mendoakan setiap usaha dilakukan tersebut terus diberkati dan menjadi asas trajektori baharu masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia.
“Saya dan pasukan Kerajaan Madani akan terus mendengar, berkhidmat, dan mengangkat darjat serta martabat rakyat serta negara di persada dunia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, beliau dan pasukannya terus melangkah dengan keyakinan dan tawaduk menyerlahkan semula ‘sinaran’ Malaysia di persada dunia sejak 11 hari lalu.
Kata Perdana Menteri, beliau memenuhi undangan lawatan rasmi dan pertemuan rakan-rakan sejawatan dari 19 negara sekali gus mengeratkan hubungan antarabangsa.
Tambah beliau, pertemuan itu turut membuka jalan kepada peluang baharu untuk kemakmuran rakyat dan negara ketika landskap geopolitik dunia sarat dengan ketidaktentuan.
Ujar beliau, usaha tertumpu kepada aspek memantapkan kerjasama dalam pelaburan, perdagangan dan inisiatif bersama yang bermanfaat dan dirasai oleh rakyat khususnya serta komuniti ASEAN amnya.
“Apa yang paling berharga bukan semata-mata pencapaian atau perjanjian termeterai, tetapi semangat kebersamaan dan sikap masyarakat antarabangsa yang mengambil serius pandangan Malaysia.
“Sebuah negara yang sentiasa tegas mendukung nilai keinsanan, keadilan, menjulang kecemerlangan serta inklusif. Namun, perjalanan kita masih jauh,” katanya. – KOSMO! ONLINE