KUALA TERENGGANU – Wang simpanan dan pencen seorang pesara guru wanita berjumlah RM570,000 lebur gara-gara terperdaya dengan skim pelaburan jual beli emas tidak wujud disyaki didalangi sebuah koperasi yang berpengkalan di sebiah negeri di Pantai Timur.
Mangsa berusia 59 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.55 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada mulanya, wanita tersebut yang tertarik dengan tawaran pulangan dividen antara lapan hingga 15 peratus setahun telah menyertai koperasi terbabit pada 29 Disember 2021.
“Mangsa mendakwa telah melakukan pelaburan jual beli emas yang diuruskan anak syarikat koperasi terbabit menerusi 17 transaksi ke dalam dua akaun bank berasingan.
“Transaksi pelaburan bernilai keseluruhan RM620,000 tersebut dilakukan antara bulan Disember 2021 hingga Julai 2022,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, wanita itu bagaimanapun kecewa apabila hanya menerima keuntungan RM50,000 sepanjang tempoh kira-kira tiga tahun tersebut. – KOSMO! ONLINE