KUCHING – Sarawak tidak akan membenarkan lagi individu atau entiti luar menggunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negeri itu bagi tujuan bekerja atau menjalankan aktiviti ekonomi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, pihak-pihak terbabit sebaliknya dikehendaki mendapatkan permit kerja sekiranya datang ke Sarawak untuk tujuan berkenaan.
“Syarikat-syarikat luar jika mahu datang ke Sarawak, walaupun ia syarikat minyak dan gas, perladangan atau sebagainya tetapi tidak mempunyai permit, mereka tidak akan dibenarkan berada di sini.
“Begitu juga pekerja, tidak kira mereka jurutera atau sebagainya, jika mereka bukan rakyat Sarawak dan masuk bekerja di Sarawak, mereka harus mendapatkan permit kerja, kita akan sangat tegas dalam perkara ini,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Karim berkata, tindakan itu dibuat memandangkan selama ini berlaku kelonggaran dalam kemasukan individu dan entiti luar ke Sarawak untuk tujuan pekerjaan atau menjalankan aktiviti ekonomi, dengan mereka hanya menggunakan pas lawatan sosial.
“Kadang-kadang disebabkan mereka dari syarikat di Malaysia misalnya syarikat minyak dan gas, pekerjanya hanya masuk menggunakan pas lawatan sosial kerana hanya perlu datang bekerja untuk dua atau tiga hari sahaja, kemudian balik semula ke Kuala Lumpur.
“Jadi mereka tidak mematuhi peraturan imigresen kita tetapi sekarang, kita perlu lebih tegas berhubung perkara itu dan mereka tidak boleh lagi menggunakan pas lawatan sosial kerana jika didapati berbuat demikian, mereka akan didenda,” katanya. – KOSMO! ONLINE