fbpx

Tang Jie-Ee Wei lepasi pusingan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG Jie (belakang) dan Ee Wei berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua China Masters selepas menang pusingan pertama hari ini.

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan saingan pada Kejohanan Badminton China Masters 2024 di Shenzhen dengan langkah kanan selepas mara ke pusingan kedua.

Pada aksi pusingan pertama di Shenzhen Arena hari ini, gandingan No. 10 dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales menerusi aksi tiga set 21-23, 21-9, 21-12.

Turun sebagai pilihan keempat, Tang Jie-Ee Wei sedikit tersentak apabila tewas di set pertama kepada lawan tidak pernah ditemui sebelum ini, namun kembali memperkemaskan permainan.

Memasuki set kedua, mereka tampil dengan aksi lebih baik apabila menguasai sepenuhnya permainan selain memimpin perlawanan dari awal sehingga ke mata akhir bagi membuat perhitungan di set penentuan.

Bersambung set ketiga, permainan kedua-dua beregu lebih seimbang apabila saling bertukar servis, namun Tang Jie-Ee Wei tidak lagi menoleh ke belakang untuk menang 21-12.

Kini, mereka berpeluang untuk meraih gelaran kedua musim ini selepas muncul juara Terbuka Korea yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan pada Ogos lalu.

Tang Jie-Ee Wei pastinya dapat beraksi tanpa tekanan yang terlalu tinggi pada kejohanan Jelajah Dunia Super 750 itu memandangkan mereka sudah mengesahkan kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada 11 hingga 15 Disember depan.

Menjelang pusingan kedua nanti, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan bertemu pemenang antara beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue dan Zhou Zhi Hong-Bao Li Jing dari China yang berlangsung esok.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei apabila terpaksa pulang awal selepas tewas 18-21, 16-21 kepada Michelle Li dari Kanada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI