fbpx

Polis Sungai Golok buat ujian urin mengejut di kelab malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah disko yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk berhibur pada malam minggu di Sungai Golok, Thailand.

SUNGAI GOLOK, THAILAND – Polis Sungai Golok akan membuat ujian saringan air kencing secara berkala dan mengejut ke atas pengunjung di kelab malam atau disko untuk membendung kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, ujian tersebut turut dijalankan setiap kali acara besar yang berlangsung di sekitar kawasan Sungai Golok.

Menurutnya, ujian itu bagi memastikan tiada sebarang kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung atau pelancong yang datang berhibur.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, lebih 30 buah disko yang terdapat di sekitar Sungai Golok, Narathiwat menjadi tumpuan ramai rakyat Malaysia terutama dari Kelantan untuk berhibur pada malam Jumaat dan Sabtu setiap minggu.

Daripada jumlah itu, terdapat tiga pub terbesar termasuk kelab malam Genting Hotel yang menjadi lokasi tangkapan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi wanita sohor dari Kelantan berkaitan kes pil kuda pada awal bulan ini.

Tinjauan Kosmo! di sekitar pekan Sungai Golok semalam mendapati, selain Genting Hotel, terdapat dua lagi kelab malam terkenal iaitu Marina Hotel dan Riviera selain berpuluh-puluh pub kecil yang menjadi tumpuan.

Disko-disko di Sungai Golok menjadi pilihan pelancong asing kerana suasana di dalam pub yang ‘happening’, boleh bergaul bebas antara lelaki dan wanita serta minum minuman keras yang dijual secara terbuka.

Pengarah Urusan Genting Hotel, Sompoch Hongkittiyanonta berkata, kebanyakan golongan muda dari Kelantan akan menginap dan berhibur di kelab malam hotel.

Menurutnya, Genting Discotheque adalah kelab malam paling selamat di Sungai Golok kerana pihak pengurusan sentiasa membuat pemeriksaan kepada semua pengunjung yang datang untuk berhibur.

“Pengunjung yang datang mesti berusia 20 tahun ke atas. Segala jenis dadah juga dilarang untuk dibawa masuk semasa mereka berhibur di sini. Kelab malam ini juga sering dipantau polis tempatan.

“Genting Discotheque mampu memuatkan seramai 300 pelanggan dalam satu-satu masa terutamanya pada malam minggu. Hampir 80 peratus pengunjung berhibur di sini datang dari Malaysia khususnya Kelantan,” katanya ketika ditemui di Genting Hotel di sini baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI