KUALA LUMPUR – Lebih 500 peneroka menyuarakan ketidakpuasan hati selepas tanah yang diusahakan di Seri Inskandar, Perak sejak tahun 2006 dimusnahkan begitu sahaja tanpa diberikan tawaran gantian yang munasabah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tanah yang dianggarkan keluasan 3,000 ekar itu sebelum ini telah dibuat permohonan oleh peneroka berhubung pemilikan tanah namun ditolak kerajaan negeri.
Katanya, tindakan susulan menghantar surat menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan memusnahkan tanah turut dikeluarkan namun tiada respon daripada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
“Rata-rata peneroka ini merupakan warga emas dan tanah yang diusahakan mereka ini satu-satunya sumber kewangan untuk menyara ahli keluarga.
“Ada juga dalam kalangan mereka ini tinggal di dalam tanah yang diusahakan itu, selepas tanah dimusnahkan kemana mereka harus pergi, adakah hanya orang kaya sahaja boleh mengusahakan tanah?” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, terdapat perbincangan dilakukan antara pihak perbadanan dan ahli lembaga koperasi berhubung wang pampasan namun ia tidak munasabah dengan kerugian dialami peneroka.
“Dianggarkan setiap ahli koperasi akan dapat sekitar RM6,000 sahaja, ini sangat tidak berbaloi dengan kerugian tanah yang dimusnahkan malah tidak sampai sebulan pendapatan mereka.
“Seterusnya, mereka ada ditawarkan tanah keluasan sekitar 470 ekar namun di kawasan paya, kos-kos untuk mengusahakan tanaman di paya sangat tinggi, sepatutnya mereka kumpulkan dahulu tanah mana yang akan diberikan sebelum maklum kepada peneroka,” katanya.
Jelas beliau, seharusnya satu perbincangan yang sesuai diadakan antara pihak pemaju, perbadanan dan koperasi tersebut dalam mencari keputusan yang menang-menang.
Tambah beliau, masih belum terlambat untuk perbincangan dilakukan bagi memastikan hak peneroka ini dibela.
“Sekiranya pemaju inginkan tanah ini, tawarkan tanah gantian yang berpatutan dan bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, seorang peneroka, Pak Tam menzahirkan perasaan sedih mengenangkan tanah yang dahulunya dianggap hutan kemudian diusahakan menjadi kebun sawit telah dimusnahkan.
“Saya teroka dulu masa tahun 2009, masa masuk dahulu hutan tebal, kemudia kita ratakan tanah semua RM1,500 untuk satu ekar. Saya usahakan lima ekar jadi boleh kira berapa modal dikeluarkan, belum kira anak sawit lagi.
“Saya sangat berduka dengan apa yang terjadi, perasaan ini dikongsi juga dengan rakan-rakan yang lain ketika sama-sama mengusahakan tanah ini,” katanya.
Ujar Pak Tam, pampasan yang setimpal atau diberikan tanah gantian antara harapannya dalam memastikan isu ini selesai dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE.