PUTRAJAYA- Kerajaan berpendirian belum tiba lagi masa untuk pengharaman rokok elektronik atau vape seperti yang sudah dilaksanakan beberapa negara maju di dunia.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak keberatan jika ada negeri-negeri yang mahu melarang penjualan produk tersebut.
“Kalau tanya saya jika boleh memang mahu vape diharamkan tetapi mungkin boleh tiru langkah Johor tidak benar vape untuk jual di kedai,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Kesedaran Kerintangan Antibiotik Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Semalam, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah ketika bertitah di Kuantan, menyarankan agar produk rokok elektronik diharamkan secara total kerana ia punca penagihan dadah.
Baginda dalam titahnya, menzahirkan kebimbangan masalah penyalahgunaan narkotik semakin meningkat di negeri tersebut yang bermula daripada trend pengamalan vape.- KOSMO! ONLINE