GERIK – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang di sini kelmarin berakhir dengan penemuan mayat mangsa.
Mayat Nur Arina Azizan, 20, ditemui pasukan penyelamat pada pukul 4 petang selepas hampir 50 jam dilaporkan hilang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dijumpai di Sungai Rui pada jarak tujuh kilometer (KM) dari lokasi dia dihanyutkan arus di Sungai Air Beruk.
Katanya, mangsa dijumpai tersangkut pada dahan pokok di dalam air berhampiran tebing sungai.
“Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke jeti terdekat di Kampung Dusun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang memasuki hari ketiga itu ditamatkan pada pukul 5.30 petang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Sabarodzi berkata, usaha pencarian yang disambung pada pukul 8 pagi hari ini dipecahkan kepada 13 sektor di sepanjang sungai bermula daripada Sungai Beruk sehingga ke Dataran Loma.
Katanya, kesemua anggota pasukan penyelamat termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan agensi bantuan lain dengan bot masing-masing diatur gerak membuat pencarian di semua sektor manakala dua bot lagi ditugaskan untuk membuat pencarian di sekitar Sungai Perak. – KOSMO! ONLINE