JOHOR BAHRU – Nasib lima beradik yang menjadi anak yatim piatu setelah ibu dan bapa mereka maut dirempuh pemandu mabuk dalam kemalangan jalan raya, Sabtu lalu mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Amil Baitulmal Johor Bahru, Dr. Mohd. Firdaus Abdul Hamid berkata, MAINJ memberi bantuan saraan bulanan sebanyak RM500 kepada nenek atau datuk yang mengambil tanggungjawab menjaga lima beradik ini.
Menurutnya, MAINJ juga akan membantu bayaran bulanan sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang didiami keluarga ini selagi mereka mendapat bantuan saraan bulanan.
“Selain itu anak-anak ini juga akan diberi bantuan awal persekolahan dan keperluan bantuan hari raya.
“MAINJ juga memberi bantuan awal kepada keluarga ini dengan bungkusan makanan dan wang tunai bernilai RM500,” katanya ketika ditemui semasa ziarah MAINJ di kediaman nenek mereka, Ramlah Kasiran di Flat Taman Cendana di sini, semalam.
Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohd. Ridzwan Mohd. Rudi, 37, dan Linda Mohd. A.Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/ Jalan Mesjid, Pasir Gudang di sini, kira-kira pukul 4 pagi.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Abdullah; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3. – KOSMO! ONLINE