SUNGAI PETANI – Polis memburu empat lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata api di sebuah premis membeli hasil sawit di Kampung Perak Sungkup, Bukit Selambau, di sini pada kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda City memasuki kawasan premis sebelum tiga lelaki bertopeng dan berpakaian serba hitam meluru ke arah pekerja di situ, manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.
“Semasa kejadian, suspek menggunakan pistol dan parang. Seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap dan melepaskan tembakan ke arah siling premis sebelum melarikan diri dengan kereta yang sama,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 04-4236999.
Terdahulu, dua rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan sebuah kereta Honda City yang dinaiki suspek memasuki kawasan premis sebelum tiga daripada mereka yang bertopeng turun dan menyerbu pekerja premis.
Sementara itu, dalam rakaman video kedua pula kelihatan seorang pekerja wanita yang berada di dalam pejabat bergegas melarikan diri sebaik sahaja menyedari kekecohan di luar premis tersebut. – KOSMO! ONLINE